Assalamualaikum wbt,
Doktor bolehkah kita mengesan tanda-tanda penuaan bagi diri kita selain dari rambut beruban dan sebagainya.
Maksudnya, keadaan tubuh itu sendiri? Minta doktor perjelaskan. Teriam kasih.
- funky
Wa'alaykumsalam funky, semoga diberikan kesihatan yang baik dari Allah dan berada dalam limpahan nikmat kurniaannya.
Sains dan agama mengajar kita bahawa proses penuaan (ageing) adalah sesuatu yang normal dan ia merupakan kitar hidup bagi manusia. Jangka hayat untuk manusia adalah antara 72-76 tahun dan umur tertua pernah dicatat adalah 110 tahun.
Proses penuaan berlaku apabila terdapat pengurangan fungsi organ dan tisu tubuh secara menyeluruh. Oleh itu ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Allah berfirman dalam Al Quran yang berbunyi.
"Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya)." [Q40:67]
Sains menunjukkan bahawa proses penuaan dipengaruhi oleh enzim telomerase yang terdapat didalam nukleus sel badan. Enzime ini akan menggantikan telomer yang berada dihujung kromosom manusia (mengandungi rantaian yang membawa maklumat genetik). Untuk pengetahuan saudara, sel-sel badan kita akan sentiasa membahagi dan setiap kali ia membahagi, telomer semakin memendek.
Terdapat satu lagi protein yang diberi nama sebagai progerin yang dihasilkan dan mempengaruhi proses penuaan. Walaubagaimanapun, peranan sebenar ia dalam mempengaruhi penuaan tidak diketahui.
Salah satu hipotesis adalah, apabila kromosom memendek dan progerin bertambah, proses untuk penghasilan protein akan terjejas. Protein yang dihasilkan adalah tidak mengikut templat asal dan ini akan membawa kepada pelbagai perubahan dalam tubuh memandangkan protein yang dihasilkan mempunyai peranan tersendiri dalam mengekalkan fungsi tubuh seperti penghasilan hormon, proses pergerakan garam dalam tubuh dan lain-lain.
Tanda-tanda penuaan adalah menyeluruh, dan merangkumi penemuan fizikal dan juga dari segi kesihatan mental. Oleh itu, adalah sesuatu yang subjektif sekiranya kita hendak menentukan ini adalah tanda-tanda penuaan dan sebagainya kerana ia adalah proses yang berterusan dari muda ke tua.
Pendapat peribadi saya adalah, saudara boleh perhatikan perbezaan fizikal setelah berumur menjangkaui 40 tahun. Antaranya ialah kulit semakin berkedut, tulang menjadi rapuh, mata semakin kabur, untuk wanita, darah haid mula tidak teratur dan berhenti, dan sebagainya.
Wallahua'llam.
No comments:
Post a Comment