Wednesday, February 1, 2012

 Bahaya Penyakit Leptospirosis (Kencing Tikus).

LEPTOSPIROSIS atau jangkitan yang dibawa haiwan, termasuk daripada keluarga tikus dikategorikan sebagai jarang berlaku biarpun ia sebenarnya bukanlah asing kepada penduduk negara ini.

Pada Mei tahun 2009 misalnya, kita dikejutkan dengan jangkitan leptospirosis membabitkan enam tahanan warga Myanmar di Depoh Tahanan Imigresen, Juru Pulau Pinang.

Ia turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Penyakit Weil, Demam Icterohemorrhage, Penyakit Swineherd’s, Demam Pesawah (Rice-field fever), Demam Pemotong tebu (Cane-cutter fever), Demam Swamp, Demam Lumpur, Jaundis Berdarah, Penyakit Stuttgart dan Demam Canicola.

Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee berkata, leptospirois berpunca daripada pendedahan terhadap bakterium ‘leptospira interrogans.’

“Jangkitan terhadap manusia selalunya melalui air yang dicemari kuping kulit dan lendir hidung, mulut dan mata tikus. Bagaimanapun, leptospirosis tidak menyebabkan jangkitan daripada manusia kepada manusia,” katanya.

Jelas Lee, jangkitan ini berlaku di seluruh dunia terutama di negara beriklim tropika. Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat misalnya merekodkan 100 ke 200 kes leptospirosis setahun di negara maju itu dengan dengan 50 peratus daripadanya berlaku di Hawaii.

Kes leptospirosis biasanya meningkat apabila musim hujan atau banjir. Bagaimanapun, sehingga kini tiada rekod jumlah kes sebenar leptospirosis yang berlaku di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebaliknya cuma memberi anggaran kes antara 0.1 atau 1 kes per 100 000 penduduk setahun di kawasan tropika.

Tanpa alasan yang kukuh, leptospirosis selalu terlepas pandang dan tidak banyak laporan mengenainya dibuat.

Kerap kali, mereka yang terbabit dengan aktiviti luar atau petani lebih berisiko terhadap leptospirosis.

Rekod WHO menunjukkan antara kes wabak leptospirosis yang meragut banyak nyawa adalah ketika Taufan Mitch pada 1995. Wabak leptospirosis yang dilaporkan di Nicaragua itu membabitkan komplikasi pendarahan di paru-paru. Pada 1998, wabak itu melanda kawasan tengah Amerika Syarikat. Tahun yang sama ia berlaku di Peru dan Ecuador disebabkan banjir besar.

Pada 21 September 2000, empat kematian direkodkan di Perancis membabitkan peserta merentas desa, Eco-Challenge. Tarikh yang sama di Kanada enam kes disyaki dijangkiti leptospirosis juga membabitkan peserta merentas desa Eco-Challenge. Sementara pada 17 Jun 2004, Kementerian Kesihatan Kenya melaporkan enam kematian dan 141 kes jangkitan leptospirosis dilaporkan di sekolah menengah di Bungoma, Kenya.

Komplikasi jangkitan ini termasuk jangkitan kuman di otak (meningitis), pendarahan yang teruk, kegagalan fungsi hati dan buah pinggang.

Di antara faktor risikonya adalah:

1) Pekerjaan yang terdedah kepada persekitaran – misalnya petani, peladang, tentera, pesawah, pekerja sistem pembetungan atau doktor haiwan.
2) Aktiviti rekreasi seperti berenang dalam air yang dicemari bakterium leptospira atau berkayak.
3) Terdedah kepada peralatan di rumah yang digunakan untuk penyembelihan, peliharaan anjing atau makanan yang digigit binatang seperti tikus, tupai dan arnab.

Gejala:
1) Leptospirosis tiada gejala yang khusus.
2) Umumnya masa pengeraman kuman itu di antara dua hingga 26 hari.
3) Pada peringkat awal ia akan membuat tubuh menggigil dan demam. Gejala ini membabitkan 75 – 100 peratus pesakit.
4) Batuk tidak berkahak ( 25 – 35 peratus pesakit)
5) Loya, muntah, cirit-birit, sakit sendi, sakit tulang, sakit tekak, sakit perut. Bagaimanapun ia gejala yang kurang berlaku
6) Radang selaput mata
7) Antara tujuh hingga 40 peratus pesakit mungkin mengalami sakit otot, limpa atau hati membengkak, bengkak kelenjar, otot mengeras dan ruam. (Sumber – Infosihat.gov.my)

INFO: Leptospirosis
Jangkitan penyakit yang disebabkan bakterium.

Menjangkiti manusia melalui pendedahan terhadap air kencing atau tisu haiwan yang dijangkiti
Progres dalam dua fasa tanpa simptom khusus.

Boleh didiagnos melalui darah, air kencing selain menggunakan ujian antibodi.

Pencegahannya termasuk elakkan mengunjungi kawasan yang ada air bertakung terutama di kawasan iklim tropika.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...