MARANG – Kebimbangan seorang bapa selepas anak gadisnya berkelakuan
pelik dan sering berkurung di dalam bilik sejak lebih seminggu lalu,
akhirnya terjawab apabila dia menemui beberapa peralatan termasuk ‘air
mandian misteri’ di bilik tidur anaknya itu.
Antara peralatan lain disimpan adalah uncang teh, uncang mengandungi
beras, gula dan kertas tertulis ayat al-Quran, cecair jernih diisi di
dalam botol mineral untuk diminum dan air berwarna keruh diletakkan di
dalam botol plastik digunakan sebagai air mandian.
Hasan Tayib, 48, mendakwa, anak gadisnya juga turut memakai tangkal
di leher diberikan seorang bomoh ‘misteri’ namun hanya sebahagian dari
peralatan itu ditemuinya manakala selebihnya dilihat oleh isterinya,
Latifah Sulong, 44.
Hasan berkata, anak kelima dari enam beradik itu baru berusia 15 tahun
dan masih belajar di sebuah sekolah di sini, dipercayai menjadi mangsa
bomoh terbabit yang diperkenalkan seorang lelaki berumur 40-an tidak
dikenalinya tetapi dikenali anak gadisnya itu.
Menurutnya, perkara itu terbongkar apabila dia mengekori anak gadisnya
ke sekolah awal pagi semalam, sebelum dia mendapati sebuah kereta sedang
menunggu berdekatan rumah mereka dipercayai untuk membawa anak gadisnya
itu ke satu tempat.
“Perkara pertama terlintas difikiran tentulah yang buruk-buruk. Hati
bapa mana yang tidak risau. Tambah pula, gejala anak gadis lari dari
rumah melibatkan lelaki yang berusia menjadi perkara biasa dan ia memang
membimbangkan kami.
“Saya kemudiannya menunggang motosikal ke arah kereta itu sebelum
melihat seorang lelaki tidak dikenali berusia sekitar 40-an berada di
dalam kenderaan itu lalu bertanyakan kepadanya kenapa menjemput anak
perempuan saya di situ,” katanya.
Hasan turut mendakwa rawatan itu membuatkan anak gadisnya mengikut telunjuk lelaki berusia 40-an itu.
Hasan yang ditemui di rumahnya di Gong Merawang di sini, berkata, lelaki
itu memberitahu, dia menjemput anak gadisnya itu untuk pergi menemui
seorang bomoh di sebuah kampung di daerah itu untuk berubat kerana
mengidap sakit dalaman.
“Saya hairan kerana anak saya tidak pernah mengadu sakit dan jika sakit
sekalipun dia (anak) ada penjaga iaitu kami. Selepas itu berlaku sedikit
pertengkaran dan saya kemudiannya mengambil anak saya dan meminta
lelaki itu beredar,” katanya.
Susulan kejadian itu, Hasan kemudiannya menghantar anaknya ke sekolah
sebelum pulang semula ke rumah dan menemui beberapa peralatan termasuk
‘air mandian misteri’ di bilik tidur anaknya yang dikatakan digunakan
untuk merawat penyakit ‘misteri’ anaknya.
Sementara itu, mungkin tidak ramai sedar bahawa gadis bawah 18 tahun
sebenarnya masih lagi tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak kerana pada usia
itu mereka memerlukan perlindungan, belaian kasih sayang keluarga dan
perhatian.
Justeru soal siapa salah tidak seharusnya berbangkit sebaliknya jalan
penyelesaian yang mesti dicari. Malah bagi Hasan dan Latifah, mereka
tidak malu untuk berkongsi beban ditanggung agar ia tidak berakhir
dengan padah termasuk anaknya itu lari mengikut kekasih.
Mereka juga menyifatkan naluri ibu bapa sangat sensitif untuk
menyimpulkan apa sebenarnya telah menimpa anak gadis mereka itu namun
mereka tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika anak gadis
mereka terus diganggu lelaki terbabit.
credit:Sinar
No comments:
Post a Comment