Alangkah
besarnya kecelakaan yang di bawa oleh arak sehingga Rasulullah s.a.w
telah melaknat 10 golongan manusia yang terlibat dengannya. Baginda
terkenal dengan sifat lembut dan pemaaf, tetapi sangat tegas berkenaan
tegahan terlibat dengan ibu segala maksiat ini.
Anas r.a
berkata: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melaknat 10 orang yang
berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya,
pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya
dan pemesannya." (Riwayat al -Tirmizi no. 1295, Abu Daud no. 3674, Ibn
Majjah no. 3381 dan Ahmad no. 316)
Apabila diteliti 10
golongan manusia yang tersenarai dalam hadis di atas, satu kesimpulan
yang boleh dibuat iaitu setiap orang yang terlibat dengan arak pasti
termasuk dalam laknat Baginda s.a.w. Setiap sen yang diperoleh daripada
sumber yang berkaitan dengan arak, pasti menjadi sebab hilangnya
keberkatan dalam hidup seseorang. Bahkan ia menjadi punca keruntuhan
institusi keluarga dan kecacatan ibadat.
Masyarakat yang dalamnya wujud
peminum arak akan terdedah kepada pelbagai masalah. Musibah terbesar
pasti mengundang kemurkaan Allah sekiranya tiada pihak yang cuba
memeranginya. Peminum arak sentiasa terdorong untuk melakukan
jenayah-jenayah seperti memandu secara berbahaya, merogol, membunuh dan
sebagainya. Ini kerana apabila seseorang itu mabuk, pusat kawalan
akalnya sudah tidak berfungsi dengan normal, lantas dia akan bertindak
di luar kawalan akal.
Kesan Negatif Arak
Menurut
kajian Biro Keadilan Mangsa Jenayah Kebangsaan (Jabatan Keadilan Amerika
Syarikat), pada tahun 1996 sahaja, purata 2713 kes rogol berlaku setiap
hari di Amerika. Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan perogol mabuk
semasa melakukan jenayah tersebut. Dalam buku Quran Saintifik, Dr.
Danial Zainal Abidin mengemukakan beberapa hasil kajian yang membuktikan
kemudaratan arak kepada manusia dan masyarakat. Antaranya ialah
sebagaimana yang dilaporkan oleh jurnal perubatan The Lancet bahawa pada
tahun 2002, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengumumkan alkohol (arak)
adalah salah satu pemusnah kesihatan yang berbahaya di dunia.
Di negara - negara yang sedang membangun, arak di kategorikan sebagai
pemusnah utama kesihatan. BBC News Online bertarikh 12 November 2002, di
bawah tajuk Alcohol Increases Breast Cancer Risk melaporkan risiko
seseorang wanita menghidap kanser payudara meningkat sekiranya mereka
minum arak. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika
(Center for Disease Control and Prevention), setiap tahun antara 1300
hingga 8000 bayi dilahirkan dengan penyakitsindrom alkohol atau Fetal
Alcohol Syndrome (FAS). Penyakit ini menyerang bayi disebabkan oleh
sikap ibu yang selalu meminum arak. Kesannya, bayi yang dilahirkan
mengalami kecacatan fizikal dan mental. Bahkan pelbagai penyakit lain
telah didedahkan oleh pakar - pakar perubatan akibat meminum arak.
Amatlah benar pengharaman arak dalam ajaran Islam. Walaupun arak telah
sebati dan menjadi minuman kegemaran masyarakat arab, Rasulullah s.a.w
tidak pernah teragak - agak untuk menguatkuasakan pengharamannya.
Baginda mungkin berdepan dengan risiko dibenci oleh masyarakat Arab dan juga risiko berkurangnya pendapatan
negara Madinah daripada cukai arak, tetapi keutamaan diberikan demi
mencari keredhaan Allah dengan melaksanakan perintah-Nya. Wawasan
Baginda bukan sekadar bejaya di dunia, tetapi kemenangan hakiki adalah
dengan mendapat syurga Allah di akhirat kelak.
Larangan Arak Dalam Bible
Bukan niat penulis untuk berhujah dengan Bible, tetapi sekadar ingin
mengetengahkan bahawa bukan Islam sahaja yang melarang pengambilan arak.
Sebagai contoh, beberapa ayat yang menyatakan larangan pengambilan arak
dalam Bible:
"Minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk." (Proverbs, 20: 1)
"Janganlah kamu menjadi mabuk oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu." (Ephesians, 5: 8)
Arak Punca Pelbagai Maksiat
Diceritakan bahawa pada zaman sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w,
seorang pemuda yang terkenal sangat kuat beribadat telah di fitnah
olehseorang perempuan pelacur yang jatuh hati kepadanya.
Si
perempuan menggunakan helah menyuruh pembantunya menjemput pemuda itu
datang ke rumah, kononnya atas hajat sesuatu yang penting. Apabila
pemuda tersebut masuk dalam ke dalam rumahnya, perempuan itu segera
mengunci pintu. Di dalam rumah tersebut ada seorang bayi kecil dan satu
hidangan arak. Perempuan itu berkata; "Aku beri kamu 3 pilihan; berzina
denganku, bunuh bayi ini atau minumlah arak ini. Sekiranya kamu enggan,
aku akan menjerit dan memberitahu orang ramai bahawa kamu telah
memperkosaku dan bayi ini adalah anakmu."
Melihat kesungguhan
pelacur ini, pemuda tersebut terpaksa membuat keputusan untuk memilih
salah satu pilihan. Dia memilih untuk meminum arak kerana baginyaia
adalah dosa yang paling ringan. Membunuh bayi dan berzina melibatkan
orang lain, tetapi meminum arak hanya melibatkan dirinya sahaja untuk
bertaubat, pada pandangannya. Akhirnya dia meminum arak itu sehingga
mabuk dan ketika mabuk, ia berzina pula dengan pelacur yang hina itu.
Selepas itu, tanpa kewarasan fikirannya, dia telah bertindak membunuh
bayi itu.
No comments:
Post a Comment