Motosikal yang ditunggangi Che Ku Mohd
Shafiq Asmawi putus dua selepas bertembung dengan kereta BMW dalam
kemalangan dekat Gerai Lemang Kijal.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.
KIJAL – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan mengerikan
selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta
BMW, di Kilometer 136.2 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Gerai
Lemang Kijal, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Che Ku Mohd Shafiq Asmawi Che
Ku Mohd Sani, 16, beralamat di Taman Air Jerneh, Kemasik yang dalam
perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, mati serta merta di
tempat kejadian.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh itu yang
menunggang motosikal jenis Honda EX5 Dream, dipercayai berlanggar secara
berdepan dengan kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan
mangsa tercampak ke tepi jalan.
Sejurus kemalangan itu, motosikal ditemui kira-kira 42 meter dari tempat
mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik terbaring.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang
mengesahkan kejadian itu berkata, akibat pertembungan itu motosikal yang
dinaiki mangsa terputus dua, sementara kereta BMW yang dinaiki seorang
kontraktor remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil
pemeriksaan didapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah
pada bahagian dada kanan dan paha kanan. Jenazahnya dituntut ahli
keluarga kira-kira jam 2 pagi.
“Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan. Justeru kita
harapkan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi maklumat untuk
membantu siasatan,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09-859 2222.
Sinar Harian 16 Okt 2012
Terpanggil untuk berkongsi insiden yang mengerikan dan sedih ini di blog saya walaupun agak lewat kerana mangsa merupakan anak kawan saya dan kami tinggal sekampung..Salam takziah dan Al fatihah untuk arwah... Semuga di tempatkan dikalangan orang2 yang beriman...