Anda pernah alami tangan berpeluh secara tiba-tiba?  Tapak tangan yang mengeluarkan peluh berlebihan sering kali menyebabkan rasa gelisah lebih-lebih lagi ia sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit berbahaya seperti jantung atau buah pinggang.  Selain itu, keadaan tersebut juga cukup untuk mengganggu seseorang. 

Contohnya seperti pelajar akan rasa tidak selesa untuk mencatat nota mahupun melaksanakan tugasan pada buku.  Ini mengganggu kelancaran kerja-kerja mereka serta sesiapa sahaja yang mengalaminya.  Hakikatnya dalam beberapa kes, keadaan ini menandakan terdapat masalah pada organ-organ tertentu di dalam tubuh.

Masalah jantung antara punca utama yang menyebabkan tapak tangan berpeluh berlebihan.  Tanda adanya penyakit jantung ini dilihat dengan keluarnya peluh berlebihan dan terdapat kes yang mengalami peluh yang banyak sehingga menitis-nitis.

Selain penyakit jantung, tapak tangan berpeluh juga menandakan terdapat jaringan peluh yang menghasilkan peluh dengan jumlah melebihi normal.  Penghasilan berlebihan ini disebabkan oleh beberapa keadaan seperti pengaruh keadaan psikologi.  Kebanyakan yang mengalaminya ketika berasa panik, takut, tertekan mahupun sakit. 

Jumlah hormon tiroid yang berlebihan juga boleh mengakibatkan berlakunya keadaan ini.  Namun, keadaan ini biasanya diikuti dengan gejala lain seperti sering berdebar dan gementar, kekerapan buang air besar daripada biasa dan bola mata lebih menonjol.