Monday, June 27, 2011

Renungan : Tafsiran 5 Jari

by Kamarulzaman Almarwan on Monday, 27 June 2011 at 14:03

Tafsiran 5 Jari

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.

Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan.

  • Jari Kelingking :

Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

  • Jari Manis :

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??

  • Jari Hantu :

Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

  • Jari Telunjuk :

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

  • Ibu Jari :

Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang.

Sunday, June 26, 2011

Tanda-Tanda Penuaan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Tanda-Tanda Penuaan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Assalamualaikum wbt,

Doktor bolehkah kita mengesan tanda-tanda penuaan bagi diri kita selain dari rambut beruban dan sebagainya.

Maksudnya, keadaan tubuh itu sendiri? Minta doktor perjelaskan. Teriam kasih.

- funky

Wa'alaykumsalam funky, semoga diberikan kesihatan yang baik dari Allah dan berada dalam limpahan nikmat kurniaannya.

Sains dan agama mengajar kita bahawa proses penuaan (ageing) adalah sesuatu yang normal dan ia merupakan kitar hidup bagi manusia. Jangka hayat untuk manusia adalah antara 72-76 tahun dan umur tertua pernah dicatat adalah 110 tahun.

Proses penuaan berlaku apabila terdapat pengurangan fungsi organ dan tisu tubuh secara menyeluruh. Oleh itu ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Allah berfirman dalam Al Quran yang berbunyi.

"Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya)." [Q40:67]

Sains menunjukkan bahawa proses penuaan dipengaruhi oleh enzim telomerase yang terdapat didalam nukleus sel badan. Enzime ini akan menggantikan telomer yang berada dihujung kromosom manusia (mengandungi rantaian yang membawa maklumat genetik). Untuk pengetahuan saudara, sel-sel badan kita akan sentiasa membahagi dan setiap kali ia membahagi, telomer semakin memendek.

Terdapat satu lagi protein yang diberi nama sebagai progerin yang dihasilkan dan mempengaruhi proses penuaan. Walaubagaimanapun, peranan sebenar ia dalam mempengaruhi penuaan tidak diketahui.

Salah satu hipotesis adalah, apabila kromosom memendek dan progerin bertambah, proses untuk penghasilan protein akan terjejas. Protein yang dihasilkan adalah tidak mengikut templat asal dan ini akan membawa kepada pelbagai perubahan dalam tubuh memandangkan protein yang dihasilkan mempunyai peranan tersendiri dalam mengekalkan fungsi tubuh seperti penghasilan hormon, proses pergerakan garam dalam tubuh dan lain-lain.

Tanda-tanda penuaan adalah menyeluruh, dan merangkumi penemuan fizikal dan juga dari segi kesihatan mental. Oleh itu, adalah sesuatu yang subjektif sekiranya kita hendak menentukan ini adalah tanda-tanda penuaan dan sebagainya kerana ia adalah proses yang berterusan dari muda ke tua.

Pendapat peribadi saya adalah, saudara boleh perhatikan perbezaan fizikal setelah berumur menjangkaui 40 tahun. Antaranya ialah kulit semakin berkedut, tulang menjadi rapuh, mata semakin kabur, untuk wanita, darah haid mula tidak teratur dan berhenti, dan sebagainya.

Wallahua'llam.

Tanda-Tanda Penuaan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Tanda-Tanda Penuaan | iluvislam.com + discover the beauty of islam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...