KULIM: Seorang suri rumah dan seorang bayi baru lahir ditemui mati
dalam bilik utama dan bilik air sebuah rumah teres di Taman Kekwa di
sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Salleh berkata, polis
mendapat maklumat yang membawa penemuan dua mayat itu kira-kira jam
2.30 petang daripada seorang jiran mangsa yang dikatakan hairan kerana
mangsa tidak keluar dari rumah dan mengambil anak-anaknya di sekolah
seperti biasa.
"Jiran berkenaan memaklumkan kepada polis yang kemudian pergi ke rumah
berkenaan dan mendapati mayat seorang perempuan yang dikenali sebagai
Shaniza Idris, 27, berlumuran darah dalam keadaan tertiarap dalam bilik
utama sementara mayat seorang bayi yang baru dilahirkan pula ditemui
dalam bilik air rumah terbabit," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa adalah isteri kepada seorang konstabel
sokongan yang bertugas di Balai Polis Kulim dan ketika kejadian sedang
berkursus di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.
Ghuzlan berkata, kematian mangsa pada awalnya dipercayai akibat
keguguran tetapi dalam siasatan polis mendapati bahawa tiada sebarang
rekod daripada Klinik Kesihatan dan sebagainya yang ditemui mengesahkan
bahawa mangsa sedang mengandung.
Katanya, mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah
siasat, yang sedang dijalankan pakar forensik dari Hospital Sultanah
Bahiyah Alor Setar dan mungkin keputusannya akan dapat diketahui lewat
petang ini.
"Kita mengkategorikan kematian berkenaan adalah mati mengejut," katanya.
Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di hadapan rumah berkenaan,
Rohizat Abdul Rahim, 49, dan isterinya Normah Ali, 48, pergi ke rumah
mangsa selepas mendengar salah seorang dari tiga anak mangsa menangis.
Rohizat berkata, setiap hari Shaniza akan menghantar anaknya ke
sekolah dan selepas pulang terus menutup pintu dan berada dalam rumah,
dan jam 1 tengah hari akan keluar sekali lagi mengambil anaknya di
sekolah.
"Semalam anak sulungnya pulang bersendirian dan saya dengar anak
yang lain menangis kuat dalam rumah itu lalu saya suruh isteri saya ke
rumah mangsa untuk memastikan sebab anak itu menangis," katanya.
Sementara itu, Normah berkata apabila masuk ke dalam rumah itu dia
mendapati terdapat beberapa tompokan darah di lantai dari bilik air
hingga ke bilik tidur utama rumah itu dan mendapati Shaniza terlentang
kaku hanya memakai coli tanpa pakaian lain dan sudah tidak bernyawa
lagi.
"Lalu saya menjerit minta tolong daripada jiran bersebelahan dan
menutupnya dengan sehelai selimut. Pada ketika itu saya tidak pasti sama
ada terdapat mayat seorang bayi dalam bilik air di rumah itu kerana
saya menumpukan untuk membantu Shaniza dengan meminta bantuan jira
memanggil polis dan ambulans," katanya.
Suami mangsa Asmadi Ahmad, 28, yang ditemui di bilik forensik
Hospital Kulim kelihatan sugul dan trauma atas tragedi yang berlaku
terhadap terhadap isterinya.
Dia yang tidak banyak bercakap berkata, mayat isteri dan anaknya itu akan dikebumikan di Pokok Sena petang ini.
"Kematian ini adalah satu tragedi pada diri saya dan saya amat
terkilan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,
kerana anak-anak kami tanpa ibunya di hari raya ini," katanya dengan
nada tertekan.
Hasil perkongsian hidup Asmadi dan Allahyarham Shaniza, mereka
mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki Mohd Danial, 7, yang
bersekolah di Tahun Satu, dan Mohd Dani, 4, serta Puteri Dayana, 1.
- BERNAMA