Saturday, July 16, 2011

Histeria di SMA Padang Tengku, Kuala Lipis Terburuk Dalam Sejarah (Siri 1)

Ramai orang sana tahu cerita ini iaitu kejadian histeria di Sekolah menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang sekitar tahun 80-an dan 90-an. Saya bersekolah menengah di sana sampai tingkatan 5 dan ayah saya jadi ustaz di sekolah tu. Ayah saya, Ustaz Haji Mohd Noor bin Sitam mengajar di sekolah ni tahun 1977-1991 dan pencen di sini.

Masa saya sekolah rendah lagi, ada beberapa kejadian histeria di sekolah tu. Bukan sepanjang masa kena tapi ada musim. Kalau histeria menyerang, puluhan pelajar asrama perempuan kena serang. Masa saya masuk sekolah kat situ, lama juga tak kena walaupun histeria tu jadi sebutan ramai. Beberapa tahun juga tiada kejadian histeria selepas itu.

Pelajar Perempuan Kepanasan

Masa saya tingkatan tiga, tahun 1987, sedang belajar di kelas dalam jam 10.00 pagi, tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan seakan kepanasan. Perhatian tertumpu kepada pelajar perempuan tu termasuk cikgu permpuan masa tu pun berhenti mengajar dan pergi kepada perempuan tu. Pelajar tu nampak kepanasan dan mengeleng-ngeleng dan tangannya memegang kepala. Semua orang panik termasuk saya. Tiba-tiba dia menjerit sekuat hati dan meronta-ronta.

Guru perempuan dengan bantuan beberapa pelajar perempuan membantu tetapi dia mempunyai kekuatan luar biasa. Kemudian, didengari teriakan dari kelas lain dan suasana di sekolah tu jadi kelam kabut. Rupanya, dalam kelas lain ada juga yang kena serangan histeria itu serentak. Pelajar lain membantu dan pelajar perempuan yang kena histeria dia kumpulkan di sebuah kelas, rupanya ada lebih sepuluh orang yang kena. Di dalam kelas itu, mereka sedar tetapi seakan kena rasuk dan masih meronta-ronta. Pelajar lain termasuk saya berada di situ membacakan ayat suci Al-Quran beramai-ramai.

Melarat

Kejadian itu bukan berakhir di situ, kemudiannya melarat dan sebelah malam, ramai lain pelajar perempuan di asrama yang kena histeria. Ayah saya dipanggil untuk merawat dan menenangkan pelajar berkenaan. Saya ikut ayah saya ke asrama perempuan dan tengok keadaan histeria tu secara dekat. Ayah saya ambil air dalam gelas, kemudian membaca sesuatu dan merenjiskan ke muka pelajar perempuan tu. Secara tiba-tiba pelajar tu rebah dan seakan pengsan seketika.

Tak lama kemudian, pelajar tu sedar dan beberapa guru perempuan memegang tangan kiri dan kanan pelajar tu. Kali ini pelajar tu berkata-kata dan memarahi ayah saya dalam keadaan yang menakutkan. Suara perempuan itu sudah jadi seperti suara nenek. Antara yang saya ingat kata-kata perempuan tu, dia kata dia duduk di atas pokok ketapang di depan asrama perempuan tu. Semua jadi seram sebab depan asrama tu memang ada pokok ketapang, biasanya tempat pelajar duduk-duduk setiap petang.

Pelajar Lari

Masa tu, ada beberapa orang lagi diserang histeria di asrama tu dan dirawat oleh ustaz lain. Saya lihat ayah saya merawat dalam dua tiga orang pelajar. Masa tu, jeritan dan teriakan berlaku sahut menyahut dan lepas seorang, seorang lagi yang kena. Saya yang mencemaskan, tiba-tiba ada seorang perempuan tu mulanya sihat dan menjadi pembantu merawat kawannya yang histeria. Secara tiba-tiba dia kelihatan aneh, berdiri dengan matanya bulat seperti memandang sesuatu. Pelajar lain dan saya nampak kelainan perempuan tu dan semua yang ada di siru memerhatikannya saja.

Tiba-tiba, dengan pantas, dia keluar dari asrama itu melarikan diri dan orang lain gagal mengejarnya. Dia terus melarikan diri ke arah pokok ketapang di depan asrama tu. Guru dan pelajar perempuan pergi memegang perempuan tu dan berjaya dipegang sebelum sampai ke pokok ketapang tu. Dengan suara seperti nenek, perempuan itu meraung dan memberi amaran supaya jangan menghalangnya. Empat hingga lima orang baru berjaya mengheret dan dibawa masuk ke asrama semula.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...