Sunday, October 2, 2011

DAMMAM: Seorang wanita Alkhobar yang kini menuntut di Amerika Syarikat dipuji kerana mengambil inisiatif memusnahkan 23 laman web Denmark yang menghina Nabi Muhammad SAW, lapor akhbar Madinah kelmarin.

Nouf Rashid memberitahu akhbar berbahasa Arab itu yang beliau menggodam laman web Denmark itu yang mempunyai rujukan kartun Rasulullah bersama laman web lain yang kandungannya turut diragui menurut pandangannya.

Gadis itu berkata beliau turut memusnahkan sejumlah laman web lucah dan menggodam sistem komputer lelaki muda yang cuba menggugut gadis dengan mengancam menyiarkan gambar peribadi mereka.

Akhbar Arabnews melaporkan gadis berkenaan mendapat kemahirannya dalam bidang itu kerana minatnya mempelajari perkara baru dalam lapangan teknologi maklumat.

Nouf berkata beliau menceburi dunia penggodam untuk menyelamatkan gadis yang diugut lelaki yang mahu berkahwin dengannya dan memperoleh gambar peribadi gadis itu. Rakan mangsa meminta Nouf mencari penggodam di Amerika bagi menyelamatkan gadis itu.

“Malah, saya menghubungi beberapa rakan penggodam di universiti dan belajar seni menggodam,” katanya. – Agensi


SAN FRANCISCO 11 Ogos – Anggota kumpulan penggodam, Anonymous yang mengaku menggodam beberapa agensi penguatkuasaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan syarikat permainan video Sony, merancang untuk ‘membunuh’ rangkaian sosial, Facebook.

Satu rakaman video dari kumpulan penggodam itu yang disiarkan di laman YouTube mendakwa ‘Operasi Facebook’ akan dilancarkan pada 5 November ini bagi memusnahkan rangkaian sosial itu kerana membolehkan pihak berkuasa menyalahgunakan maklumat peribadi penggunanya.

Bagaimanapun, jurucakap Anonymous memberitahu AFP, ketua-ketua kumpulan tidak pasti sejauh mana tahap serius ugutan itu kerana sistem kepimpinan kumpulan itu yang longgar tidak memiliki struktur kawalan yang khusus dan ahli-ahlinya menyembunyikan identiti mereka.

”Sejumlah anggota menyatakan ia akan berlaku manakala sejumlah anggota lagi memberitahu ia tidak melibatkan mereka dan ia merupakan satu tindakan bodoh,” ujarnya.

Rakaman video tersebut memaparkan logo Anonymous berwarna kelabu dan satu suara diubahsuai secara digital mengumumkan rancangan untuk memusnahkan Facebook dan meminta penggodam lain turut serta dalam serangan siber itu.

Ia menuduh Facebook menyimpan data pengguna dan menyerahkan data berkenaan kepada pihak berkuasa.

”Sertai perjuangan ini dan bunuh Facebook demi privasi anda,” kata suara dalam rakaman video itu yang ditonton lebih sejuta kali sejak disiarkan tiga minggu lalu.

Satu mesej dalam akaun Twitter milik Anonymous, Anonops mengesahkan sejumlah anggota cuba menganjurkan serangan terhadap Facebook tetapi pelan itu tidak mendapat sokongan majoriti.

Facebook enggan mengulas mengenai ancaman tersebut. – AFP
Sumber : Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...