Tuesday, January 10, 2012

jangan tidur selepas subuh


Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.
Jika tidak sekarang, bila lagi bukan? Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.

 

TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH
Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh
Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,
“Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri”
Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun subuh. Kenapa ya sahabat?
Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke”subuh”an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.
“Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti”
“Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun”
JIKA MAHU BERMUHASABAHRasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.
Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.
Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : “Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di sisi orang yang BERAQAL”.
Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat? Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?
Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak “kulit bercahaya”. Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah “ubat kuat” yang dipakainya.
Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.
MASA UNTUK BERUBAHMaka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.
Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
“Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). – Surah Al-Jumuah (Ayat 10)
Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.
“Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut.”
Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini “kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi ‘gila’.” Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.”
Ibnul Qayyim pernah berkata, “Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.
Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.
Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Diriwayatkan al-Baihaqi)

diam lebih baik dari berkata-kata...



Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata,
“Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak sembahyang, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya”.
Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya,

“Sungguh ia termasuk ahli neraka”.
Kemudian lelaki itu berkata lagi,
“Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya.”
Maka Rasulullah SAW berkata,
” Sungguh ia termasuk ahli syurga . “(HR.Muslim) 
Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad – amalannya tersebut sia-sia.
Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi media taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan menasihati, lidah juga berubah seperti layaknya penyalaan api. Memfitnah, bersaksi palsu, ghibah, namimah, dan memecah belah umat. Jika seperti ini seberapa banyak pun ibadah kita tak ada gunanya, semuanya gugur gara-gara lidah yang lancang.
Rasulullah SAW memberi amaran, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling beliau khuatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat. Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!”
Beliau menjawab:
“Katakanlah,` Tuhanku adalah Allah `, lalu istiqomahlah”.
Aku berkata:
“Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khuatirkan atasku? “.
Beliau memegang lidah beliau sendiri, lalu bersabda:
” Ini . ” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Antara kejahatan lidah adalah lidah yang banyak bicara dengan kebatilan. Jenayah lidah memang boleh setajam pedang. Jika kita tidak berhati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga lidah itu menjadikan ‘api’ yang membakar semakin besar.
Imam Abu ‘Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan: “Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu.”
Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka. Menjadi hamba yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).
Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain”. (HR.Muslim)
Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum mendapatkan jawapan dari ahlu dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam”. (HR. Bukhari Muslim)
Lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Firman Allah SWT :
“Janganlah kamu bersikap terhadap sesuatu yang kamu tidak ketahui.” (QS al-Isra ‘: 36)
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . “(Jami ‘al-Shaghir).
Kesimpulannya, berhati-hatilah wahai saudara-saudari seIslamku, semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana. Amin.
Wallahu a’lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...