Tuesday, April 3, 2012

Kisah pemabuk dan anak yatim

Dikisahkan, seorang salaf berkata, "Dahulu aku adalah seorang yang tenggelam dalam berbagai macam perbuatan maksiat dan pemabuk.

Pada suatu hari aku menemui seorang anak yatim yang miskin. Lalu aku ambil anak yatim itu dan aku berbuat baik kepadanya.

Aku beri ia makan, pakaian, dan aku mandikan ia sehingga bersih semua kotoran yang melekat di tubuhnya, dari hujung rambut sampai hujung kaki.

Aku menyayanginya seperti seorang ayah menyayangi anaknya, bahkan lebih. Malamnya aku tidur dan bermimpi bahawa kiamat sudah tiba. Aku dipanggil menuju hisab.

Kemudian aku diperintahkan untuk masuk neraka kerana banyaknya dosa dan maksiat yang aku kerjakan.
Malaikat Zabaniyyah menyeretku untuk memasukkanku ke dalam neraka. Semasa itu aku merasa kecil dan hina di hadapan mereka.

Tiba-tiba anak yatim itu menghadang di tengah jalan sambil berkata, 'Tinggalkan ia wahai malaikat Rabb-ku! Biarlah aku memintakan syafaat untuknya kepada Rabb-ku! Dialah yang dulu telah berbuat baik kepadaku, telah memuliakanku!'

Malaikat berkata, 'Tetapi aku tidak diperintahkan untuk itu.' Kemudian terdengar seruan dari Allah, firman-Nya, 'Biarkan dia, sungguh Aku telah mengampuninya dengan syafaat anak yatim itu dan kebaikannya kepadanya!'

Lalu aku terbangun dan aku pun bertaubat kepada Allah 'azza wa jalla, dan aku terus berusaha semaksima mungkin untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim."


KERNA CINTA AKU KUAT

Apa rahsia terbesar dalam hidup ini?


Melewati hari ini dengan penuh makna. Makna tentang cinta, ilmu, dan iman. Dengan cinta hidup menjadi indah. Dengan ilmu hidup menjadi mudah. Dan dengan iman hidup menjadi terarah.


Namun, adakala aku tersasar dalam hidupku. Tanpa arah dan tujuan. Aku meraba dalam gelap. Menitis air mataku di setiap perjalanan. Mengesat peluh yang tidak kesampaian.

Aku tidak sempurna.

Tetapi adakah aku hidup untuk mengejar ke arah kesempurnaan?

KESEMPURNAAN HIDUP


Dalam suatu perjalanan hidup, cita-cita terbesar setiap insan adalah menuju kesempurnaan. Ada kalanya kita mesti berjuang, serta belajar menyingkap segala rahsia kehidupan.


Mungkin kita berfikir, perjalanan menuju kesempurnaan adalah proses yang menentukan setiap tapak langkah kita. Setiap hembusan nafas, detik jantung, dari siang menuju malam. Semua menuju titik yang sama, kesempurnaan.


Setiap insan mempunyai hak yang sama atas waktu.


Tidak ada seorang pun melebihi dari yang lain. Namun tak jarang setiap kita berbeza dalam menentukan sikapnya. Ada yang berjuang untuk melaluinya dengan membunuh waktu. Tidak pula sedikit yang merasakan sempitnya kesempatan yang dia ada.


Perasaan kecewa pula seringkali singgah kerana matlamat yang tidak kesampaian. Memilih liku – liku hidup di persimpangan. Mengenal kawan yang akhirnya menjadi lawan. Mengetahui kebaikan dalam kejahatan.


Tetapi yang akhirnya aku, kau dan mereka akan mengerti. Bahawa setiap perjalanan pasti ada ujian dan cabaran. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap kebahagiaan tercoret kedukaan.


Apapun pilihan yang dilalui. Akan ku tempuhi hidup ini demi pengalaman. Akan ku semat iman demi Tuhan. Agar aku menjadi sebaik insan yang solehah.


Akan ku lewati hari ini dengan penuh makna. Makna tentang cinta, ilmu, dan iman. Kerna dengan cinta buat hidupku menjadi indah. Dengan ilmu hidupku menjadi mudah. Dan dengan iman hidupku menjadi terarah. Dan untuk itu, bersedialah untuk diuji.


Seperti mafhum sabda junjungan: "Jika Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan mengujinya. Sesiapa yang reda dengan Allah, Allah reda dengannya"


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...