Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya
tiga orang cucu. Namun si isteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata,
"saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya
sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan,
ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa
pandangan saudara?"
"Teruskan perkahwinan," jawab saya dengan pasti. Saya teringat
ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu
berbunyi: "Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi
jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan
berpatah balik, teruskan perjalanan!"
"Mengapa pula?" tanya siisteri.
"Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun
sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam
bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan
di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan
teruskan perkahwinan ini. "
"Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?"
Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk
saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah
syarat untuk kita bersikap positif. 'Right mental attitude' sangat
penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu
untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk
tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di
luar diri kerana apa yang lebih utama ialah 'what happens in you'
bukan 'what happens to you.'
Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang
positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut
adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif
seterusnya membentuk sikap yang positif:
1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup
kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia
sering marah dan mengeluh dengan berkata, "aku sepatutnya tidak dilayan
begini." Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang
kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan
alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita
terima sebagai balasannya.
Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan
kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai
balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita
berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab –
sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan
tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita
menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi
mangsa?
Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak
bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang
sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan?
Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang
sepatutnya berbuat begini atau begitu... Pada hal, pemikiran yang
negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa
yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.
Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul
dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan
dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan
benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita
bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan
mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan
memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang
tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam,
marah, kecewa dan kemurungan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan 'menyedut' tenaga, keceriaan dan akan
menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke
belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara
kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus
memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup...
kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap
tidak memaafkan.
Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung
jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding
dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada
apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu
yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan
kita.
Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik
sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat
balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan
dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah
isteri kepada Firaun.
ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita
bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang
bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan
sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama.
Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi.
Jauhkan 'toxic people' yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu
domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah
kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah
dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia
dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit... Apa yang anda
dapat daripada orang yang begini?
Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak
'melahirkan' sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda,
mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita
berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti
oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang
membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki
umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun
kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang
membawa rebah.
iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup
berumah tangga kita, jawablah, "sekarang!" Usah berpaling ke belakang
dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa
hadapan dengan berkata, "bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih
stabil." Dengan berkata demikian kita telah 'membunuh' potensi hari ini.
Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa
gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita
hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa
ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam
sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan
oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu
petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri
jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!
Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan
mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat
daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa
diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu
bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya,
carilah apakah 'resipi' yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu
kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!
iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang
lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami
atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah
terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita.
Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan.
Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang
menyihatkan dan menceriakan.
Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat
sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang
menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang
memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui
tempoh 'pause' atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw
berlumba lari dengan isterinya?
Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan
lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita
hadapi... bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula
apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah
kembali stabil.
v) Jangan terlalu serius.
Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu
dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit
gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu
Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah. Hiburan umpama
garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar
keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w
lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?
Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita
selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan
bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan
unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri
akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk
menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani
kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan
konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.
Apabila rumah tangga kelihatan malap atau 'sindrom bisu' mula
melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana
dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang
penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya.
Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan
keadaan yang sedang dihadapinya... Mereka sahaja yang layak bahagia
kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya
orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan
hidupnya!
Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak
sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi
ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama
oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita
hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.
Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita
punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita
hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan,
tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada
hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi
yang buruk itu... tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di
sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah
hidup... satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah
kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini?
Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang
lain. Itulah misterinya takdir...
Apa yang perlu kita lakukan... bersyukur dengan apa yang ada. Bila
bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada,
Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak
berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk
menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak
pandai, "jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah
untuk menghadapinya!"
-
Artikel iluvislam.com