WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) – Dua letusan kuat yang berlaku
pada permukaan matahari diramalkan mencetuskan ribut geomagnetik dan
radiasi terbesar yang pernah dialami Bumi dalam tempoh lima tahun, kata
beberapa pakar cuaca kelmarin.
Ribut berkenaan yang akan berterusan sehingga ke hari ini, dijangka
mengganggu grid kuasa, sistem navigasi dan satelit selain menyebabkan
beberapa syarikat penerbangan mengubah laluan di sekitar kawasan kutub.
Ekoran letusan suria tersebut, penduduk di Asia Tengah berpeluang
menyaksikan fenomena cahaya berwarna-warni dikenali sebagai aurora
borealis semalam.
“Cuaca angkasa lepas menjadi amat menarik dalam tempoh 24 jam lalu,” kata saintis cuaca angkasa lepas Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA), Joseph Kunches.
Bencana itu bermula pada Ahad lepas di sebuah kawasan aktif yang dinamakan 1429 di permukaan matahari.
Kawasan tersebut menghambur angin api dan plasma dikenali sebagai
ledakan jisim korona (CME) yang menuju ke Bumi pada kelajuan 6.4 juta
kilometer sejam.
Satu lagi letusan suria dan CME menyusul kelmarin dan ia mencetuskan ribut radiasi solar dan geomagnetik yang kuat. – AFP
Harian Metro