Tuesday, April 10, 2012

Umar Al-Khattab merayu pada wanita miskin agar jangan dakwanya di akhirat

Kita telah biasa membaca kisah Saidina Umar bin Al-Khattab r.a ketika menjadi khalifah (pemimpin) dengan seorang ibu miskin yang hanya memasak batu kerana anaknya kelaparan. Tetapi pernahkah kita (yang menjadi pemimpin) ambil pengajaran dari kisah tersebut?

Umar r.a dan pembantunya Aslam telah keluar menyamar dan membuat rondaan ke suatu tempat bernama Harrah. Tiba di satu tempat, Umar dan Aslam mendapati ada seorang wanita dan beberapa orang anak yang sedang menangis kelaparan.

Wanita tersebut telah mengungkit-ungkit tidak puas hati kepada Umar r.a kerana tidak membantunya. Umar memberi salam lalu menyapanya. Wanita tersebut menerangkan bahawa dia tiada makanan untuk memberi makan pada anak-anaknya. Hanya dengan merebus air dapat menenangkan anak-anaknya, dengan harapan agar nanti dapat makan apa yang dimasak oleh ibunya. Sehinggalah anak-anak itu tertidur.

Umar menangis mendengar keluhan wanita tersebut. Setelah Umar bantu wanita tersebut, wanita tersebut mengatakan sepatutnya dialah yang layak menjadi khalifah. Sedangkan dia tidak tahu bahawa yang menolongnya itu adalah Umar.

Kemudiannya Umar r.a telah memanggilnya mengadap keesokan hari, dan menghadiahkannya wang. Umar MERAYU pada beliau agar berjanji jangan MENDAKWANYA di hadapan Allah Azza wa Jalla di akhirat nanti. MasyaAllah, sampai macam itu sekali tawadhu' dan takutnya Umar pada kemurkaan Allah S.w.t.

Ini lah sebenarnya yang dikatakan Amirul mukminin, iaitu "pemimpin kepada orang-orang mukmin". Ini lah contoh tauladan yang sebaiknya dicontohi. Sedangkan Umar r.a telah dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad S.a.w, tetapi beliau masih lagi takut akan disoal di akhirat kelak mengenai kepimpinannya, apatah lagi kita yang langsung tidak dijanjikan syurga lagi ini.
Nabi Muhammad s.a.w suka bersama orang miskin

Dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, baginda adalah dekat dengan golongan-golongan miskin termasuk anaknya sendiri. Walaupun Rasulullah s.a.w adalah seorang pemimpin negara, tetapi baginda dan anak-anaknya tidak kaya dan tidak berharta. (Amacam, boleh cari pemimpin seperti ini sekarang?)


Dan jika Rasulullah masuk ke dalam suatu majlis, baginda akan
duduk bersama-sama dengan orang-orang miskin. Baginda tidak sombong dan bermegah dengan kedudukan dan pangkat. Baginda adalah seorang manusia yang sangat tawadhu' dan rendah diri.

Adakah kita sekarang ini suka bersama orang-orang miskin? Mungkin ketika dekat pilihanraya saja, ataupun ketika-ketika untuk memancing undi. Bukannya setiap hari seperti yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan. Malah kita agaknya lebih suka bersama golongan-golongan berada agar duit poket kita tidak terbang malah semakin masyuk.


Dari Haritsah bin Wahab r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sukakah engkau semua saya beritahu, siapakah ahli syurga itu? Mereka itu setiap orang yang lemah dan dianggap lemah oleh para manusia, tetapi jikalau dia bersumpah atas Allah, pastilah Allah mengabulkan apa yang disumpahkannya itu. Sukakah engkau semua saya beritahu, siapakah ahli neraka itu? Mereka itu ialah setiap orang yang 'utul (keras), jawwazh (bakhil) tetapi gemar mengumpulkan harta, lagi pula bongkak." (Muttafaq 'alaih)


Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Syurga dan neraka itu saling berbantah-bantahan. Neraka berkata: "Di dalamku ada orang-orang yang keras kepala - gemar memaksakan kehendaknya pada orang lain - serta orang-orang yang congkak." Syurga berkata: "Di dalamku ada para manusia yang lemah-lemah serta kaum fakir miskin." Allah lalu memutuskan perbantahan mereka itu dan firmanNya: "Engkau itu, syurga, sesungguhnya adalah tempat kerahmatanKu, yang Aku merahmati denganmu itu siapa saja yang Kukehendaki, sedang engkau neraka, sesungguhnya adalah tempat penyiksaanKu, yang Aku menyiksa denganmu siapa saja yang Kuhendaki. Atas kehendakKu pula lah kedua-duanya itu siapa-siapa yang akan diisikannya." (Hadith Riwayat Muslim)


Dari Usamah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Saya berdiri di pintu syurga, tiba-tiba - saya lihat - kebanyakan orang yang memasukinya itu adalah orang-orang miskin, sedang orang-orang yang mempunyai kekayaan masih tertahan - belum lagi diizinkan untuk masuk syurga. Tetapi para ahli neraka sudah semua diperintahkan untuk masuk neraka. Saya juga berdiri di pintu neraka, tiba-tiba -saya lihat - kebanyakan para ahli neraka itu adalah kaum wanita." (Muttafaq 'alaih)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...