Pertama ;
Rasa malu kerana berbuat salah, seperti rasa malu Nabi Adam
‘alaihissalam yang melarikan diri dari Allah SWT saat di syurga. Ketika
Allah SWT bertanya , “Mengapa kamu melarikan dirimu dariKu wahai Adam?”
Adam menjawab, “Tidak wahai Tuhanku, melainkan kerana rasa malu terhadap
engkau”.
Kedua ;
Rasa malu
kerana keterbatasan diri (kelemahan dan rasa serba tidak sempurna),
seperti rasa malu para malaikat yang membuatkan mereka senantiasa
bertasbih kepada Allah SWT siang dan malam bahkan tanpa sesaat pun tanpa
tasbih, namun demikian pada hari kiamat kelak mereka berkata, “Mahasuci
Engkau ya Allah, kami belum dapat menyembahMu dengan sebenar-benar
penyembahan.”
Ketiga ;
Rasa malu kerana pengagungan atau
dikenali juga sebagai rasa malu kerana memiliki makrifah kepada Allah
(mengenal Allah lalu mengagungkanNya). Ketahuilah wahai sahabat sekalian
bahawasanya sejauh mana makrifah seseorang hamba terhadap Tuhannya maka
sejauh itu pula rasa malunya terhadap Allah SWT.
Keempat ;
Rasa malu kerana kehalusan budi seperti rasa malu Rasulullah SAW saat
mengundang orang ramai pada acara walimah Saidatuna Zainab ra.Kerana
mereka tidak segera pulang, Baginda bangkit dari duduknya dan merasa
malu untuk mengatakan kepada mereka, “Pulanglah kalian”.
Kelima ;
Rasa malu kerana menjaga kesopanan , seperti rasa malu Ali ibn Abi
Thalib ketika hendak meminta baju besi kepada Rasulullah SAW kerana dia
adalah suami kepada Puteri Rasulullah SAW.
Keenam ; Rasa malu kerana
merasa diri terlalu hina seperti rasa malu seorang hamba yang memohon
bermacam-macam keperluan kepada Allah SWT dengan menganggap bahawa ia
adalah hamba yang terlalu hina di hadapan Allah SWT atas banyaknya hajat
dan keperluannya kepada Allah SWT.
Ketujuh ;
Rasa malu
kerana cinta, iaitu rasa malu orang yang mencintai di hadapan kekasihnya
bahkan ketika terlintas di dalam fikirannya saat berjauhan dengan
kekasihnya, dia tetap merasa malu tanpa diketahui apa sebabnya, apalagi
jika kekasihnya muncul secara tiba-tiba di hadapannya.
Kelapan ;
Rasa malu kerana ubudiyah, yakni rasa malu yang bercampur dengan cinta
dan rasa takut. Seorang hamba yang merasa ubudiyahnya masih kurang,
sementara kekuasaan Yang Disembah terlalu agung, sehingga ubudiyahnya
yang kurang dan cacat serta tidak sempurna itu membuatnya rasa malu.
Kesembilan ;
Rasa malu kerana kemuliaan, yakni rasa malu seorang hamba yang memiliki
jiwa agung tatkala berbuat baik atau memberikan sesuatu kepada orang
lain. Sekalipun dia sudah terkorban dengan mengeluarkan sesuatu namun
dia merasakan kekurangan dalam berbuat baik.
Kesepuluh ;
Rasa malu terhadap diri sendiri, yakni rasa malu seseorang yang memiliki
jiwa besar dan mulia andaikata dia memiliki rasa redha dengan
kekurangan diri sendiri dan merasa puas pula melihat kekurangan orang
selain dia. Dia merasa malu terhadap dirinya sendiri sehingga seakan dia
memiliki dua jiwa, yang satu merasa malu terhadap yang lainnya. Ini
merupakan rasa malu yang paling sempurna. Sebab, jika seorang hamba
merasa malu terhadap dirinya sendiri maka dia lebih layak untuk merasa
malu terhadap orang lain.
Allahumma, kurniakan kami hakikat rasa malu seperti yang Engkau kehendaki.
No comments:
Post a Comment