Sunday, June 30, 2013

Dua penunggang motosikal besar maut di KotaTinggi-Mersing 30 Jun 2013


KOTA TINGGI: Dua maut manakala tiga cedera apabila empat motosikal berkuasa tinggi ditunggang mereka merempuh sebuah lori tangki yang hilang kawalan di Kilometer 38 Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru di sini, dalam keadaan hujan renyai tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, empat penunggang dan seorang pembonceng yang dikatakan menyertai konvoi Tengku Seri Temenggung Raja Terengganu ke Johor dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu bersama kira-kira lima motosikal lain.
Menurut sumber, kerabat diraja Terengganu itu tidak bersama konvoi dalam perjalanan pulang kerana beliau bersama tiga motosikal lain mengambil jalan lain untuk ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, siasatan awal mendapati lori tangki berkenaan cuba membrek apabila kereta di depannya berhenti secara mengejut.
Foto
SEBUAH motosikal berkuasa tinggi yang tercabut bahagian hadapannya selepas melanggar lori tangki yang terbabas melintang jalan di Kilometer 38 Jalan Kota Tinggi - Johor Bahru mengorbankan dua penunggang manakala tiga lagi cedera. FOTO Ahmad Othman

Keadaan itu, katanya, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melintang di atas jalan raya.

Katanya, secara kebetulan empat motosikal yang berkonvoi itu tiba di dalam kejadian dan tidak sempat mengelak lori berkenaan.

"Akibatnya, dua penunggang, Abdul Rashid Mansor, 48, dari Taman Ibai Indah Golf Resort dan Mohamad Hisham Salleh, 36, dari Kampung Gemuroh, Marang, maut di tempat kejadian.

"Dua penunggang lain, Saufi Said, 48 dan Anisar Muhammad, 49, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Manakala Muhd Zulkeri Embong, 45, hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pemandu lori sudah ditahan bagi membantu siasatan.
credit: My Metro
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30 

1 comment:

iskandarX said...

Salam Ramadhan is singgah sini menabung Inti kolej, Ya allah Bersepai Dorang nie Kak Ana? isk isk isk

http://iskandarx.com/2013/07/12/segmen-bloglist-santai-iskandarx-2013-reloaded/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...