KUANTAN: Empat maut manakala dua parah apabila dua buah kereta terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Ahmad 1 menghala ke arah Semambu awal pagi tadi.

Mangsa yang terbunuh dalam kemalangan 4 pagi itu ialah pemandu kereta jenis Nissan GTR, Tan Kah Yong, 24, dan penumpangnya Bao Shanshan, adalah seorang warga China.
Manakala dua lagi ialah pemandu kereta Nissan Skyline iaitu Go Haw Wei, 20, dan penumpangnya Koay Khor Liang, 21.

Dua yang cedera juga merupakan warga China yang berada di dalam kereta Nissan GTR berkenaan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kedua-dua kereta itu datang dari arah Kuantan menuju Semambu dan dipercayai terbabas dan melanggar pokok.

"Pemandu kereta Nissan GTR itu sedang membawa tiga warga China yang bekerja di sebuah Spa di sini. Mengikut siasatan awal, kedua-dua kereta terbabit dipandu laju dalam keadaan jalan basah berikutan hujan," katanya.

Semua mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. - BERNAMA