Sunday, October 28, 2012

3 maut kemalangan di jambatan Penang..


28/10/2012 5:57pm

BUTTERWORTH — Seorang pemandu kereta bersama dua penumpangnya maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1.6 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, di sini pada pukul 3.15 pagi tadi.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian kereta jenis Proton Perdana itu dinaiki empat orang termasuk dua wanita warga Indonesia.
Katanya, pemandu kereta berkenaan, Sadisafizan Said, 36, beralamat di Selayang Baru, Selangor dan penumpang hadapan, Muslim Idwar, 38, beralamat di Batu 6, Kuala Lumpur meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
"Seorang lagi penumpang kereta berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mai Linda, 18, iaitu wanita warga Indonesia, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada pukul 10.15 pagi ini.
"Manakala seorang lagi wanita, dipercayai rakan kepada Mai Linda dan berusia lingkungan 20-an masih dirawat di ICU. Identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa, dipandu laju dan ketika kejadian mereka dari arah Georgetown menghala ke Perai.
"Ketika sampai di tempat kejadian mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tembok bahu jambatan dan akibat rempuhan itu ke semua penumpang tersepit,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke HSJ untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — BERNAMA


 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...