APAKAH ITU QARIN ?
Tahukah apakah itu Qarin yang sentiasa ada bersama kita ?
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia.
Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang
dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w.
sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim.
Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya qarin yang
kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia
membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan
sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya
membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini
Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan
mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia
membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau
bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh
qarinnya lemah tidak berdaya.
Caranya dengan membaca
"Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir,
membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Sabda
Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a. maksudnya: "Setiap kamu
ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat.
Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah." Sabdanya: "Ya aku juga
ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan
dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja."
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w.
keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: "Aku merasa cemburu."
tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: "Wahai Aisyah apa sudah
jadi, apakah engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana aku tidak cemburu
orang yang seumpama engkau ya Rasulullah." Sabda Baginda: "Apakah engkau
telah dikuasai oleh syaitan?" Aku bertanya: "Apakah aku ada syaitan?"
Sabda Baginda: "Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin." Aku bertanya
lagi: "Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?" Jawab Baginda: "Ya,
tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam."
(Riwayat Muslim)
Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud: "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua
perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga
dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi
Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan."
(Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang
mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang
kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang
megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus,
"Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir,
makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu." Sebaliknya syaitan
yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama
dengannya dan begitu juga minum."
Qarin akan berpisah dengan
"kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan
ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya
umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat
nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili.
Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas
kesesatan atau kederhakaan manusia.
#Cuba Bayangkan sejenak tentang Kembar kita ini, terutamanya apabila kita terasa ingin melakukan perbuatan Dosa dan Kejahatan.
Sudah Pasti dia Gembira jika kita Tewas dengan Kejahatan dan Sedih jika kita berjaya Menangkis.
*Ingatlah ini dan berfikir tentang Apa yang akan kita lakukan.
JANGAN SEKALI KALI TEWAS DENGAN NYA DAN KEMBALI SETERUSNYA MENUJU DI DALAM JALAN ISLAM YANG SEBENAR !
No comments:
Post a Comment