JAGALAH HATI PASANGAN ANDA
PASANGAN adalah ‘sahabat’ kita yang paling rapat dan setia. Tak kira
waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi.
Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang terakhir yang
perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita seadanya.
Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain.
Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan tidak
menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka sudah
mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa pun yang
terjadi.
Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah
tanggapan tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu
dijaga dan hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan
bukan untuk orang lain.
Penulis berminat untuk berkongsi satu
ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Dato’ Dr Hj Mohd
Fadzilah Kamsah, ujarnya; “Jika mahu diri disayangi, beri kasih sayang
kepada orang dahulu”. Maksud lain yang dapat penulis simpulkan di sini
ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang
terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama
juga.
Sesuai dengan topik kita cantik luaran dan dalaman, antara
perkara yang perlu diberi perhatian ialah berhemah apabila berbicara,
tampil dengan rupa yang menarik dan bersih serta menjaga hati pasangan
dengan baik.
Bagi yang mahu berubah namun tidak tahu caranya, panduan di bawah mungkin boleh membantu.
Pertama: Paling penting dalam perhubungan ialah komunikasi yang baik.
Seringkali kita mengabaikan komunikasi yang baik dengan pasangan. Kata
ganti nama diri seperti aku dan kau digunakan dalam perbualan harian,
padahal lebih molek jika panggilan seperti ‘sayang’ atau ‘abang’
digunakan kerana itu boleh memupuk kemesraan.
Seperti persahabatan,
pasangan yang baik perlu komunikasi yang jujur. Perlu bersedia untuk
memberi pandangan, nasihat menasihati bila keadaan memerlukan. Jika
salah seorang ingin meluahkan masalah, seorang lain perlu mendengar
dengan baik.
Jangan pula cuba masuk campur dalam urusan pekerjaan
dan keluarga jika tidak diminta. Jika ada yang berkecil hati, pastikan
disuarakan dengan baik untuk mengelakkan salah faham yang lebih buruk.
Kedua: Anda dikehendaki menjadi pendengar yang setia. Bila pasangan
anda dilanda masalah sebagai contoh di tempat kerja, bersedialah untuk
menjadi pendengar dan jangan sesekali mengadili pasangan anda itu
walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca masalah itu.
Apa yang perlu ialah dengar dan beri nasihat secara umum sahaja.
Ketiga: Memastikan bahawa anda tidak bertepuk sebelah tangan. Maknanya
bukan anda sahaja yang menganggap pasangan anda itu perlu dihormati,
malah dia juga perlu menghormati anda.
Jika ada sahabat lain yang
mengutuk pasangan anda di belakangnya, andalah orangnya yang penuh yakin
untuk menjadi pembela pasangan anda itu.
Tetapi jika memang
pasangan anda melakukan kesalahan, terus-teranglah bahawa anda tidak
selesa dia melakukan begitu, pilih perkataan yang sesuai untuk menegur
dan tegurlah dengan berhati-hati agar tidak mengecilkan hatinya.
Seringkali kita mendengar rakan kita mengomel tentang bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari hari ke hari.
Perkara yang amat lazim terjadi kepada wanita itu seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak.
Memang ia amat merisaukan namun apa yang penting selain kerisauan itu
ialah tindakan segera yang perlu diambil bagi menangani masalah
tersebut.
Keempat: Laburlah sedikit wang untuk penampilan anda,
tak kira sama ada untuk menguruskan badan, mencantikkan kulit, berbaju
baru dan sebagainya semuanya ada harga yang perlu dibayar.
Namun
percayalah ia adalah satu pelaburan yang baik demi perhubungan anda.
Tapi tidak kira sama ada anda lelaki atau perempuan perlulah sama-sama
mengambil berat tentang penampilan anda.
Kebersihan harus dijaga dan
perlu amalkan disiplin diri. Pilihlah pakaian yang kemas dan pastikan
anda melakukannya ikhlas untuk pasangan anda.
Jangan bila hendak ke
kenduri atau berhari raya baru hendak bergaya. Sepatutnya bergayalah di
rumah kerana ada mata dan perasaan yang lebih penting untuk dijaga.
No comments:
Post a Comment