Tidakkah Beruntung Menjadi Seorang Wanita Islam?
“Keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada wanita terlalu banyaknya”.
“Kasihnya Allah SWT kepada wanita!” Itulah kata-kata yang paling mudah
digunakan untuk menggambarkan ‘layanan’ istimewa terhadap wanita dalam
Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme
atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik
sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua
wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini
untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak
akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan
buat seorang wanita di dalam Islam.
Namun, ramai wanita yang
tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh
nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan
tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup
aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi
pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua
amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau
dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat
hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.
Lalu
kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita
ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas
mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak
membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan
hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam
soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia
buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta
di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti
hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau
dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah
tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih
lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia
dan Akhirat.
Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum
wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum
wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan
dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka.
Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat
satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama
ada setara langsung atau pun tidak.
1 ) Gelaran Bagi `Isteri’ Di Dalam Al-Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan
suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-
bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri
menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris,
perkataan untuk suami ialah `husband‘ manakala perkataan untuk isteri
ialah `wife‘. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk
suami ialah `mari‘ manakala perkataan `femme‘ untuk isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan
yang berbeza `zaujuh‘ dan `zaujati‘. Hanya satu perkataan yang digunakan
untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh‘ yang bermakna `pasangan‘. Islam
melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung
buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah
tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap
lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang
kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap
mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan
sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat
daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata
kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti
yang tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini
hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak
beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan
isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut ‘imraah‘, kerana
isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada
suaminya.
2 ) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:
a. “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” Apakah wanita tidak rasa mulia
dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan “di bawah
telapak kaki” dan bukan “di dalam tangan” atau “di sisi” seorang ibu?
Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam
Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia,
menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan
meng’hamba’kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu
tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di
dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan
sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
b.
“Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik
kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu
kepada isi rumahku.”
c. “Tidak akan memuliakan
perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan
perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.” (Hadis riwayat Ibnu
`Asakir)
d. “Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan
cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka
bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah
menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
e. “Janganlah seorang
mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana
walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi
(tentu) ada lain perangainya yang is suka.” (Hadis riwayat Ahmad dan
Muslim)
Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi
oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak
perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau
diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin
bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan
membimbing mereka dengan ikhlas.
3 ) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama Yang Mulia
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu
mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud
`Maha Penyayang‘. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang
semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentu Tuhan
akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang
begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian
tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita.
Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam
rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang
Tuhan ciptakan.
Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu
kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada
mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia?
Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan
akan mulianya wanita di sisi Tuhan.
4 ) Diberi Pahala Yang Berterusan
Wanita disebut `kurang dari sudut agama‘, tetapi ini bukan bermaksud
yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang
bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu
lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu,
Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat
bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.
Bayangkan
seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan
dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala
solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar
menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya
pahala yang Tuhan sediakan untuknya.
Aduh! Maha Pemurahnya
Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering
dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak
asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan
kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan
perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan
oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah
terlampau banyaknya.
No comments:
Post a Comment